Menurut kata mutiara sarjana, ‘Jika ingin melihat masa
hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.’ Berikutan itu, pada
Seminar Kor SISPA kali Pertama Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Universiti
Tun Hussien Onn (UTHM), saya telah menyahut saranan Pegawai- Pegawai Muda untuk
menubuhkan satu Pusat Pegawai Muda dibawah JPAM Negeri Selangor. Tujuannya
tidak lain adalah untuk menjadi wadah para graduan dan pegawai yang telah
ditauliahkan melalui Kor SISPA di peringkat IPTA/S untuk meneruskan
kesinambungan arus kesukarelawanan mereka dalam pasukan peringkat jabatan.
Tenaga muda yang lahir ini adalah diharapkan untuk
membawa satu corak dan imej sukarelawan jabatan yang lebih unggul dan
berketerampilan melalui penglibatan dan sumbang saranan idea serta tenaga mahir
mereka mengikut bidang kesarjanaan yang telah mereka perolehi di universiti
mahupun di sektor professional di alam
kerjaya mereka.
Awang Raweng, seorang veteran perang dan satu-satunya
rakyat Malaysia yang menerima George Cross iaitu pingat anugerah ketenteraan tertinggi
Britain yang setaraf dengan pingat Panglima Gagah Berani pernah berkata ‘Kami
dahulu berkorban nyawa melawan musuh nyata. Zaman ini, giliran orang muda
melawan musuh tersembunyi.’ Maka, inilah juga harapan kami di peringkat jabatan
terhadap penubuhan Pusat Pegawai Muda ini. Para pegawai Muda seharusnya
menjadikan Pusat ini sebagai landasan untuk menggegarkan dunia melalui perkongsian
pengalaman dan ilmu pegawai muda dalam mengolahnya untuk diadaptasikan dan
digunakan di peringkat jabatan untuk meletakkan Jabatan Pertahanan Awam
Malaysia sebagai agensi penyelamat nombor satu di Malaysia.
Akhir kata, adalah diharapkan Pusat ini dapat menjalankan
fungsinya dengan baik dan menatijahkan suatu input positif kepada jabatan
mahupun Pegawai Muda itu sendiri.
Belia Wibawa; Inspirasi, Pelapis Dan Pendukung Transformasi
Negara.
Selamat maju jaya Pusat Pegawai Muda JPAM Negeri
Selangor. Terima kasih.
AHMAD AFANDI BIN MOHAMAD
Pengarah,
Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor.